Welcome to my blog, hope you enjoy reading
RSS

Thursday, May 20, 2010

REFLEKSI

REFLEKSI

Program DPLI UKM adalah selama 10 bulan bermula pada bulan Julai sehingga April. Bermula dengan minggu suai kenal iaitu BIP 1, seterusnya kuliah, diikuti dengan BIP 2, kemudian kuliah semula, seterusnya Rekreasi Dalam Komuniti dan berakhir dengan Latihan Mengajar di sekolah. Seterusnya berkumpul semula dalam Kolokium dan Malam Pra Graduan.

i- BIP dalam Kurikulum

Untuk BIP 1 kami didedahkan dengan suai kenal, seterusnya diperkenalkan dengan profesien perguruan dan melakukan aktiviti secara berkumpulan. Dari program aktiviti ini kami didedahkan dengan nilai-nilai murni seperti sifat berani, bertanggungjawab, bekerjasama, yakin diri, kreatif dan sebagainya selaras dengan sifat yang perlu ada dalam diri seorang guru. Melalui aktiviti seperti LDK, Jelajah UKM, dan ceramah sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada kami bahawa menjadi seorang guru tidak semudah yang disangka dan perlu dibekalkan secara mental dan fizikal.

Seterusnya BIP 1 disambung lagi dengan BIP 2 bagi mempersiapkan dan melengkapkan diri kami dengan jati diri yang tidak rapuh. Pelaksanaan BIP 2 untuk membentuk sifat kepimpinan dalam diri setiap bakal guru. Tujuan utama membentuk dan meningkatkan efikasi kendiri bakal guru. Bukanlah semata-mata program untk menguji ketahanan fizikal tetapi dalam seiap aktiviti yang dilaksanakan mempunyai objektif tersendiri utuk memperkasa sahsiah bakal guru. Ia selaras dengan kurikulum pendidikan Negara yang mana merupakan suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang pelajar dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.

Sebagai contohnya dalam BIP dari segi mental - berjaya mengatasi persepsi awal yang mana kurang yakin terhadap kemampuan diri untuk bertahan menamatkan aktiviti tersebut, intelektual - kemahiran dan pengetahuan untuk merangka, mengurus dan melaksanakan aktiviti luar dengan berkesan. Selain itu juga memupuk sifat berani untuk menempuh cabaran, membina kemahiran membuat keputusan, memupuk dan menyemai semangat perpaduan dan kerjasama antara peserta, membentuk keyakinan diri, disiplin, kepimpinan, kreativiti serta kecergasan di kalangan peserta dan memupuk sikap tanggungjawab dalam diri setiap individu.

ii- Pengintegrasian Ilmu Yang Dipelajari Secara Terpisah-Pisah

Sepanjang pengajian kami di UKM berbagai subjek yang perlu diambil dan dipelajari, dari kelas yang berbeza, masa yang berlainan dan pensyarah yang berlainan. Antara subjek da cabang ilmu yang kami pelajari seperti Psikologi Pendidikan, Kaedah Mengajar, Pentaksiran Pembelajaran, Falsafah dan Perkembangan Pendidikan di Malaysia, Kajian Tindakan, Pengurusan dan Pengelolaan Kokurikulum, Sekolah dan Masyarakat dan sebagainya. Sememangnya ia dipelajari secara berasingan, tetapi sebenarnya semua subjek dan cabang ilmu ini mempunyai kaitan dan perlu disatukan untuk mencapai Falsafah Pendidikan Negara dan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berkesan.

a) Psikologi Pendidikan pelbagai teori dan kaedah yang saya pelajari seperti teori behaviour, teori kontekstual, teori pembelajaran kooperatif, teori pembelajaran REACT dan sebagainya.

b) Pentaksiran Pembelajaran pula saya mempelajari cara membuat soalan yang baik, mengumpul data, menaksir pelajar, menaksir data dan menganalisis data dan maklumat peperiksaan.

c) Kajian Tindakan saya mempelajari bagaimana seorang guru boleh menjadi penyelidik seterusnya membuat kajian tindakan di Sekolah. Melalui subjek ini juga saya mengenali dan memahami pelbagai model yang boleh dignakan dalam melakukan kajian tindakan seperti Model Kemmi & Mctaggart, Model Elliot, Model Stringer dan sebagainya.

d) Kaedah Mengajar pula merupakan subjek yang memperkenalkan kepada saya bagaimana seorang guru boleh mengajar dengan baik dan berkesan di dalam kelas dengan menggunakan pelbagai kaedah yang dipelajari di dalam subjek Psikologi Pendidikan. Melalui subjek ini juga bakal guru dibimbing bagaimana memulakan kelas, bagaimana berdepan dengan pelajar, bagaimana mengawal kelas, bagaiamana mengolah isi pengajaran, bagaimana membuat aktiviti di dalam kelas dan sebagainya.

Walaupun semua cabang ilmu ini saya pelajari secara berasingan dan terpisah-pisah namun ia sebenarnya mempunyai matlamat dan objektifnya yang sama apabila diaplikasikan, terutama ketika membuat tugasan dan latihan mengajar. Dalam tugasan semua ilmu ini perlu disatukan kerana ia semuanya berkaitan, sebagai contohnya dalam membuat tugasan dalam subjek Kajian Tindakan , segala ilmu-ilmu dan kaedah-kaedah yang dipelajari dalam pelbagai subjek disatukan bermula dari mengumpulkan data, merancang, bertindak, menganalisa dan menganalisis data, refleksi seterusnya memberi cadangan. Dalam tugasan ini saya tidak boleh melakukannya tanpa sebarang rujukan dan panduan, ia perlu dirancang dengan teliti. Jadi ia sebenarnya terdapat dalam apa yang telah saya pelajari dalam subjek-subjek sebelum ini sdan tidak boleh dipisahkan apabila membuat tugasan agar hasilnya memberangsangkan terutama dalam Psikologi Pendidikan, Kaedah Mengajar dan Pentaksiran Pembelajaran.

Namun dalam tugasan ini ilmu yang dipraktikkan adalah terbatas kerana kekangan masa yang tidak mencukupi dan sample yang digunakan bukan sample yang sebenar di mana terdiri daripada kalangan pelajar-pelajar DPLI sendiri. Jadi segala ilmu yang dipelajari tidak dapat digunakan dengan sepenuhnya dan hanya dapat dilakukan dengan satu kitaran sahaja. Walaupun begitu ia sedikit sebanyak memberi panduan kepada saya bagaimana untuk membuat tugasan dan mempraktikkan apa yang dipelajari di dalam kelas.

Manakala dalam Latihan mengajar di sekolah pula saya dapati amat berbeza sekali dengan apa yang dialami di universiti. Di sekolah saya berdepan dengan berbagai kerenah pelajar menyebabkan saya mencuba berbagai pendekatan dan kaedah ketika proses p&p agar berjalan dengan lancar dan berkesan. Ketika menjalani latihan mengajar di sekolah, masalah yang biasa di alami oleh saya adalah sama dengan guru-guru lain di mana terpaksa berdepan dengan disiplin pelajar yang mana tiada di dalam kelas, sering ke tandas, malu bertanya, kurang penglibatan di dalam kelas, mengganggu pelajar lain, tidak menyiapkan kerja sekolah dan sebagainya. Saya di beri tugasan untuk mengajar kelas tingkatan dua dan empat, yang mana kelas tingkatan dua terdiri daripada 12 pelajar perempuan subjek Kemahiran Hidup, manakala tingkatan empat terdiri daripada 40 orang pelajar aliran perdagangan. Berdasarkan tinjauan saya sebahagian besar mereka lebih gemar untuk melakukan aktiviti yang membolehkan mereka bergerak aktif dan tidak hanya tertumpu kepada kuliah semata-mata bagi kedua-dua tingkatan.

Maka berdasarkan apa yang saya pelajar di Universiti saya menggunakan pelbagai teori dan pendekatan pembelajaran. Berjaya atau tidak Berjaya suatu pendekatan atau kaedah itu telah menjadi perkara biasa bagi saya, walaupun pada mulanya ia agak sukar untuk saya terima apabila tidak Berjaya, namun ia menjadi titik tolak untuk saya melakukan dan mengaplikasikan apa yag saya pelajari selama ini. Kerana selama ini saya telah mempelajari berbagai kaedah dan teori pembelajaran. Walaupun masa pembelajaran di universiti dalam program DPLI ini amat singkat namun ia bergantung kepada diri sendiri bagaimana untuk mendapatkan ilmu yang selebihnya, pensyarah hanyalah sebagai pembimbing untuk melengkapkan diri menjadi guru yang berpotensi dan Berjaya.

Ketika menjalani latihan mengajar di sekolah saya juga berpeluang membuat soalan ujian bulanan. Di mana ketika membuat soalan ini barulah saya memahami bagiaman untuk menghasilkan satu set kertas soalan, sebenarnya ia tidak begitu sukar apabila mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam subjek pentaksiran pembelajaran yang mana setiap soalan perlu mempunyai tahap kesukaran seperti mudah, sederhana dan sukar. Setiap soalan juga perlu mempunyai aras 1, aras 2, aras 3, aras 4 dan mempunyai soalan kefahaman, fakta dan kemahiran berfikir. Seterusnya begaimana menguruskan peperiksaan iaitu cara pelajar menjawab dan memberi keterangan kepada pelajar. Seterusnya sampai kepada proses menyemak kertas jawapan peperiksaan untuk mengumpulkan data, menganalisa dan menganalisis data. Setelah menganalisis data saya perlu membuat penambahbaikkan untuk memperbaiki kaedah pengajaran sedia ada. Selama menjalani latihan mengajar di sekolah telah banyak memberi pengalaman kepada saya walaupun dengan hanya tempoh 3 bulan sahaja, biarpun masih banyak lagi yang masih belum saya ketahui namun ia sedikit sebanyak dapat membantu saya mengubah sikap dan gaya hidup menjadi lebih positif dan berketrampilan.

iii- Ko-kurikulum

Sepanjang 10 bulan berada dalam program DPLI UKM saya terlibat dalam beberapa aktiviti ko-kurikulum sama ada ketika di UKM ataupun di sekolah. Ketika di UKM saya terlibat dengan aktiviti berpersatuan di mana dalam aktiviti ini saya mempelajari bagaimana sesebuah persatuan itu berjalan dan bagaimana untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Sebagai contohnya saya selaku naib pengerusi Pembangunan Insan bekerjasama dengan AJK Tertinggi yang lain untuk melaksanakan program seperti Grooming dan Majlis Khatam Quran. Program ini banyak menyumbang pengetahuan bagaimana untuk melaksanakannya secara berkumpulan dan bersendiri. Selain itu juga saya juga menjadi AJK dalam beberapa program lain seperti BIP, RDK dan Sukan DPLI. Dalam Sukan DPLI saya mempelajari bagaimana sesebuah organisasi itu melaksanakan sukan dan menyertai sukan walaupun hanya sedikit dipelajari namun memberi pengetahuan kepada saya untuk berdepan di sekolah nanti.

Manakala di sekolah tempat latihan mengajar saya, saya menyertai rumah sukan Laksamana dan Persatuan Pusat Sumber Sekolah. Untuk rumah sukan sekolah saya mempelajari dari guru-guru di sekolah tersebut bagaimana menguruskan rumah sukan sekolah dan membentuk AJK dalam rumah tersebut. Di samping itu juga saya mempelajari bagaimana untuk menlaksanakan sukan sekolah, bermula dengan pembentukan AJK di kalangan guru termasuk AJK permainan, Ajk padang, pengadil, keselamatan, juru acara dan sebagainya. Saya juga berpeluang menjadi AJK dalam sukan sekolah ini, ini memberi peluang kepada saya menimba banyak pengalaman sebagai bekalan apabila bertugas di sekolah kelak. Bagi Persatuan Pusat Sumber Sekolah pula saya lebih terdedah kepada pengurusan dan keceriaan Pusat Sumber Sekolah di mana penekana terhadap aktiviti pusat sumber, penggunaan pusat sumber, pinjaman dan penghataran buku, tempahan buku dan sebagainya. Dalam ko-kurikulum ini ia memberi sumbangan dalam pembentukan personaliti sahsiah guru kepada diri saya dari segi Jasmani, Emosi, Rohani, Intelektual dan Sosial:

a) Jasmani- berfokus kepada kemantapan diri saya khususnya penekanan kepada fizikal yang sihat. Memberi kelebihan kepada saya agar dapat mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental.

b) Emosi- memberi tumpuan kepada pengawalan emosi dalam diri saya terutamanya apabila berada dalam situasi yang memerlukan saya membuat keputusan dengan tepat dan pantas. Ini kerana ganguan emosi seseorang dapat mempengaruhi ahli-ahli pasukan tersebut. Setiap individu perlu memiliki keyakinan diri yang kuat dan tidak mudah putus asa dengan cabaran yang dilalui. Selain itu aktiviti ini dapat memupuk perasaan kasih sayang terhadap semua makhluk dan menghargai ciptaan Tuhan.

c) Rohani- merupakan aspek penting yang ditekankan di dalam aktiviti ini di mana ia memberi kesedaran kepada saya untuk menghargai kebesaran dan kekuasaan Tuhan. Tanpa di sedari mereka akan sentiasa muhasabah diri kerana setiap yang berlaku di duinia ini pasti ada hikmahnya kerana tiada manusia yang sempurna di dalam dunia ini.

d) Intelek- keupayaan guru mengumpul maklumat yang diberi pendedahan awal mengenai pengelolaan sesuatu aktiviti ko-kurikulum seperti bagaimana membentuk AJK, menggunakan alatan sukan dengan betul, membuat keputusan dengan tepat dan sebagainya. Selain itu saya juga dilatih untuk memproses maklumat yang diterima dan seterusnya membuat penialaian berdasarkan maklumat yang telah diproses seperti menggabungkan pengetahuan dalam membuat keputusan menjadi kemahiran. Secara tidak langsung, saya akan membuat keputusan yang bijak berdasarkan penilaian tadi.

e) Sosial- ini kerana ianya dilakukan secara berkumpulan saya dapat berkomunikasi antara satu sama lain sekaligus dapat mengeratkan hubungan perpaduan dan kerjasama kumpulan. Sehubungan itu semangat setia kawan turut diterpkan kerana dalam satu kumpulan mereka perlu sering bekerjasama bagi menjamin semua perkara yang dilakukan berjalan lancar.

Secara keseluruhannya Program DPLI UKM banyak memberi pengetahuan, pengajaran , pengalaman, kenangan pahit dan manis kepada diri saya. Menjadi salah seorang pelajar DPLI UKM memberi seribu erti bagi diri saya dan amat ebrtuah kerana terpilih untuk menyertainya. Menjadi sepasukan bersama rakan-rakan DPLI yang lain menjadikan saya lebih matang berfikir, menjadi seorang yang lebih berkeyakinan dan lebih bijak untuk membuat keputusan. Walaupun tempoh 10 bulan merupakan tempoh yang amat singkat untuk mempelajari ilmu yang tidak pernah ada penghujungnya namun, ilmu yang hanya setitis akan menjadi bermakna apabila di amalkan dan dipraktikkan.